Previous Next

SQS dan JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA JALIN KERJASAMA

13 Mei 2024 : Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) mengadakan kunjungan ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Kedah, baru-baru ini.

Delegasi ini diketuai oleh Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim bersama Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi, Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Syariza Abd Rahman.

Delegasi SQS disambut oleh Pengarah, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kedah, Nadia Marzuki dan stafnya.

Kunjungan ini bagi menjalinkan kerjasama antara SQS dan DOSM ini telah diadakan di Wisma Persekutuan Anak Bukit.

Antara perkara yang dibincangkan sepanjang pertemuan ini adalah peluang kerjasama antara SQS dan DOSM, melibatkan pengajian pasca siswazah, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan latihan.

Di samping itu, perbincangan juga memfokuskan isu peningkatan pengetahuan dan kemahiran di kalangan pelajar UUM akan kepentingan penjelajahan dan analisis data.

SQS juga berbesar hati menjemput DOSM untuk turut serta dalam program tahunan SQS, iaitu SQS Day 2024 yang akan diadakan pada 20 – 22 Oktober 2024. Bersempena dengan Hari Statistik Dunia yang disambut saban tahun pada 20 Oktober, DOSM begitu teruja untuk menyambut ulangtahun Hari Statistik Dunia yang ke-75 pada tahun ini bersama SQS.

Diharapkan kerjasama antara kedua-dua jabatan ini dapat diteruskan demi kepentingan rakyat negeri Kedah khususnya dan negara Malaysia amnya.