Previous Next

UUM-UTHM BEKERJASAMA SEBAR KEPENTINGAN KEUSAHAWANAN eBay

27 April 2024 : Menyedari peranan penting keusahawanan dalam membentuk ekonomi Malaysia, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bergabung tenaga dalam menawarkan seminar keusahawan eBay di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa, baru-baru ini.

Jawatankuasa Keusahawanan SQS, Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid berkata, seminar yang direka untuk memperkasakan bakal usahawan dengan pengetahuan, kemahiran dan sumber itu diperlukan untuk berjaya dalam dunia perniagaan dinamik hari ini.

Menurutnya, seminar keusahawanan eBay menjadi bukti kuasa kerjasama dan inovasi dalam kalangan universiti tempatan dalam memacu pembangunan ekonomi Malaysia.

”Ia juga bertujuan untuk melahirkan usahawan Malaysia yang berdaya saing secara global di samping meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai potensi global perniagaan dalam talian, malah di tahap antarabangsa.

”Hampir 300 peserta menghadiri seminar ini untuk menimba ilmu berdagang melalui eBay di bawah pimpinan penceramah jemputan, Dr. Zul Ariffin Maarof yang merupakan pensyarah kanan UTHM,” katanya.

Dr. Zul Ariffin juga merupakan pemilik Syarikat Spin-off STU di bawah UTHM, syarikat perniagaan yang bertujuan untuk mengubah ciptaan teknologi yang dibangunkan oleh penyelidik UTHM kepada produk yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Perkongsian beliau bersama peserta amat bermakna kerana pengalaman yang sangat meluas dalam platform e-dagang sejak tahun 2010.