Previous Next

Program “Fantastic Mathematics”

28 NOVEMBER 2023: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) di bawah Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti telah berjaya menjalankan program “Fantastic Mathematics” bersama Sekolah Kebangsaan Hosba, Jitra bertempat di SQS. Pelaksanaan program ini melibatkan 54 orang pelajar SK Hosba tahun enam dan 10 orang guru. Delegasi pelajar dan guru telah singgah ke Anjung Tamu di mana mereka telah diberikan penerangan ringkas berkaitan UUM. Delegasi juga berpeluang menaiki bas UUM dan dibawa melawat sekitar kampus UUM, Taman Rusa, Dewan Mu’adzam Shah (DMAS) dan seterusnya ke SQS.    

Program “Fantastic mathematics” padat dengan pengisian tiga aktiviti utama iaitu Ace of Math, Shortest Route, dan Creative Tent Building. Kesemua aktiviti yang dijalankan turut dibantu oleh 20 orang fasilitator QUSAC (Persatuan Pelajar Sains Kuantitatif). Melalui aktiviti yang dijalankan, para pelajar dan guru didedahkan dengan pembelajaran matematik melalui permainan kad Ace of Math. Permainan kad ini dapat meningkatkan kecekapan matematik pelajar dan memupuk minat mereka terhadap subjek pengiraan tersebut. Para pelajar lebih bermotivasi untuk mengambil bahagian dalam permainan berbanding latihan lembaran kerja. Permainan ini dimainkan dalam kalangan beberapa pemain tetapi hadiah adalah secara invididu di mana lima peserta dengan markah paling tinggi diumumkan sebagai pemenang.

Aktiviti Shortest Route dan Creative Tent Building melibatkan aktiviti berkumpulan seramai lima orang. Para pelajar sangat ceria dan bersemangat ketika menjalankan aktiviti ini di mana setiap kumpulan berusaha untuk memastikan kumpulan mereka meraih kemenangan. Tiga kumpulan terbaik dipilih sebagai pemenang untuk setiap aktiviti ini. Penglibatan pelajar dalam program ini diharapkan dapat menyuntik minat mereka dalam mata pelajaran matematik khususnya dan STEM amnya dalam meneruskan pembelajaran mereka semasa di sekolah.