Program MEKAR “Aku Hitung Aku Untung”

Program MEKAR “Aku Hitung Aku Untung”

04 JULAI 2023 : Pusat Pengajian Sains Kuantitatif di bawah Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti telah berjaya menjalankan Program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) dengan aktiviti bertajuk “Aku Hitung Aku Untung” di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Serai Kulim pada 4 Julai 2023.

Program yang bercirikan keusahawanan sosial ini membantu melatih penguasaan matematik, keusahawanan, serta komunikasi sosial di kalangan para pelajar. Melalui program ini, pelajar diberi pendedahan untuk melaksanakan aktiviti keusahawanan, berkomunikasi di antara rakan dan pelanggan untuk mempromosikan barangan dalam urusan jual beli, serta penguasaan matematik dalam pengiraan kos dan untung rugi. Pelaksanaan program ini melibatkan para pelajar tingkatan empat aliran perdagangan dan ekonomi. Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan dibekalkan dengan produk makanan. Setiap kumpulan perlu merancang pembungkusan produk jualan mereka agar dapat menarik minat pembeli serta merancang strategi jualan mereka. Pelajar sangat bersemangat ketika menjalankan aktiviti ini di mana setiap kumpulan berusaha untuk memastikan kumpulan mereka meraih untung dalam jualan. Keuntungan jualan diserahkan sepenuhnya kepada setiap kumpulan untuk diagihkan di antara sesama ahli. Tiga kumpulan dengan untung bersih paling tinggi telah dinobatkan sebagai johan, naib johan dan tempat ketiga.