PROGRAM INNOVATION AND CREATIVITY IN STEM (IC STEM) – Skills for the future

PROGRAM INNOVATION AND CREATIVITY IN STEM (IC STEM) – Skills for the future

29 November 2022 : Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Persatuan STEM Kebangsaan cawangan Kedah (NSA Kedah) dan Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Jitra telah mengadakan Program Innovation and Creativity in STEM (IC STEM) – Skills for the future. Program ini telah dijalankan di sekitar Universiti Utara Malaysia pada 29 November 2022 dan disertai oleh guru-guru daripada SK Hakim Teh, SK Padang Pekan, SK Padang Perahu, SK Manggol Bonggor dan SK Anak-Anak Tentera. Program ini telah diterajui oleh Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, pengerusi NSA Kedah dan pengerusi program IC STEM dan dibantu oleh tiga pensyarah SQS yang juga merupakan ahli NSA Kedah, dan empat guru SK Hakim Teh.

Program IC STEM merupakan sebuah program yang dirangka sebagai satu usaha dalam mewujudkan kerjasama antara universiti, sekolah, komuniti dan agensi luar. Program ini menjadi suatu nilai tambah kepada para guru dalam menyampaikan pengajaran secara inovatif dan kreatif. Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan kemahiran kreativiti kalangan para guru dalam menjana aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) berteraskan STEM secara holistik. Antara aktiviti yang dijalankan dalam program IC STEM adalah meneroka STEM dalam pertanian-akuaponik, menjelajahi alam semulajadi ke Pokok Tiga Beradik, aktiviti kumpulan serta webinar. Peserta program perlu membina DUA aktiviti PdP menggunakan pendekatan STEM dengan menghubungkait kandungan mata pelajaran berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan alam sekelililing.

Seterusnya, peserta menyertai Webinar Sembang Santai Inspirasi STEM yang dijalankan secara hibrid. Moderator webinar adalah Cikgu Turun Ihsan bin Hasbulah dan panel jemputan terdiri daripada guru cemerlang iaitu Cikgu Noorseiah binti Mohamad dari SMK Megat Dewa dan Cikgu Norhalina binti Abdullah daripada SK Tenaga Setia, serta Dr Ihsan Bin Ismail yang merupakan Timbalan Ketua Sekretariat (Teknikal) di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Peserta sangat teruja dan terinspirasi dengan pelbagai kaedah PdP STEM yang diketengah oleh ahli panel. Para peserta memberi maklum balas positif serta berpuas hati mengenai program IC STEM ini dan berharap program ini dijalankan lebih kerap di masa hadapan. Antara maklum balas daripada peserta ialah “dapat menambah idea tentang aktiviti STEM dalam PDP” dan “mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai IC STEM”.

Majlis penutup program IC STEM yang berlangsung di Dewan Seminar SQS pada pukul 4:00 petang telah dirasmikan oleh Tuan Haji Munawir Bin Azizan, Penolong Pengarah Kanan (KPPK) Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Kedah. Besar harapan Tuan Haji Munawir agar para peserta dapat menerapkan dan mempraktiskan apa yang dipelajari ke dalam PdP. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada SK Padang Pekan yang memperolehi tempat pertama dan SK Hakim Teh yang memperolehi tempat kedua berdasarkan aktiviti yang telah dirangka semasa aktiviti berkumpulan.