CSR SQS: MATH MANIA JUNIOR 2018

CSR SQS: MATH MANIA JUNIOR 2018

SQS NEWS: Menyedari kepentingan khidmat komuniti setempat, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah mengorak langkah menjalankan program memupuk minat terhadap Matematik di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SKBBS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SMKBBS).

Pada 15hb, 22hb dan 29hb April 2018, telah berlangsungnya Program CSR SQS Math Mania 2018 iaitu program pengukuhan subjek matematik melalui permainan cardgameAce of Math yang melibatkan pelajar-pelajar lelaki dan perempuan Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 dari SMKBBS.

Seramai 40 pelajar telah dipilih secara khusus oleh guru yang bertanggungjawab memantau perkembangan kemahiran matematik pelajar-pelajar tersebut. Program ini disertai oleh 6 pensyarah SQS dan dibantu oleh 10 pelajar dari Kelab QUSAC SQS yang bertindak sebagai mentor untuk setiap kumpulan.

Ace of Math merupakan sejenis permainan kad yang bertemakan penyelesaian 4 operasi asas matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. Permainan ini diasaskan oleh salah seorang pensyarah dari SQS dan telah meraih beberapa pingat di dalam edisi pertandingan reka cipta yang disertai. Kumpulan CSR SQS yakin permainan ini boleh dijadikan sebagai medium alternatif bagi tujuan pengukuhan kemahiran matematik oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah.

csr 1

Pada 20hb September lalu, SQS dengan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan SKBBS telah mengadakan program Math Mania Junior 2018 yang bertempat di Dewan Seminar B, SQS dari 8:00 pagi hingga 1:30 petang. Seramai 169 pelajar Tahun 6 telah mengambil bahagian. Program ini telah dianjurkan bagi memenuhi hasrat pentadbiran SKBBS yang ingin mengurangkan tekanan para pelajar Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada 24hb – 27hb September 2018. Di samping itu, program ini diharap dapat memupuk dan menarik minat pelajar terhadap subjek matematik. Math Mania Junior 2018 telah berjaya direalisasikan dengan permainan aplikasi matematik seperti tepuk-tepuk sifir, tangram dan silangkata matematik. Selain aplikasi matematik, program ini turut menekankan kepentingan unsur psikomotor, komunikasi dan kerja berpasukan.

csr 2

 Klik untuk lihat album gambar.

Penulis:  Dr. Wan Laailatul Hanim Mat Desa
Gambar: Mohd Zukuwwan Zainol Abidin