Sintok, 23 Disember 2024 – Dalam usaha memperkukuhkan kerjasama akademik di peringkat antarabangsa, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil langkah proaktif dengan menerima jemputan sebagai penceramah di Algeria. Jemputan ini bertujuan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang sains kuantitatif serta meningkatkan hubungan akademik antara kedua-dua negara.
Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, telah terbang ke Algeria pada 15 hingga 19 Disember 2024 untuk memenuhi jemputan sebagai penceramah utama di Setif 1 University Ferhat Abbas selama lima (5) hari lawatan kerja tersebut.
Selain menyampaikan ceramah, Prof. Dr. Haslinda juga memanfaatkan peluang ini dengan mengadakan perbincangan berkaitan bidang penyelidikan, pertukaran pelajar, dan program pasca siswazah. Beliau juga telah bertemu dengan Prof. Dr. El Hadi Latreche, Rektor Setif 1 University Ferhat Abbas untuk berbincang mengenai kerjasama dan menyerahkan surat hasrat bagi menjalinkan hubungan strategik antara kedua-dua universiti.
Kerjasama ini dijangka membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah UUM untuk menjalankan penyelidikan bersama, menghadiri persidangan antarabangsa, serta menikmati pengalaman budaya dan akademik di Algeria. Universiti-universiti di Algeria juga menunjukkan minat untuk menghantar pelajar mereka ke UUM bagi program pertukaran pelajar dan staf.
SQS berharap bahawa inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha dalam menjadikan UUM sebagai institusi pendidikan tinggi yang cemerlang di peringkat global, sambil memperluas horizon ilmu pengetahuan dan inovasi tanpa sempadan.
Sekian.
Disediakan oleh: Noramalina Shamsudin