Previous Next

Pelajar Cilik Beraksi dalam SQS STEM Challenge

29 Oktober 2024  : Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah menganjurkan program STEM Challenge bersempena dengan SQS Quantifest 2024. Program separuh hari ini telah berlangsung pada 29 Oktober 2024 di bangunan SQS melibatkan 42 pelajar cilik dari Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Tunku Putri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM). Program ini bertujuan memperkenalkan konsep sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) kepada kanak-kanak melalui aktiviti interaktif dan menyeronokkan.

Program STEM Challenge ini dijalankan untuk kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun, dengan objektif menyemarakkan minat awal mereka dalam bidang STEM. Pada peringkat umur ini, kanak-kanak sangat ingin tahu dan cenderung meneroka dunia sekeliling mereka melalui pemerhatian dan permainan. Oleh itu, program ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning), pembelajaran menyeronokkan (fun learning), dan aktiviti praktikal (hands-on) yang sesuai dengan tahap perkembangan kognitif mereka.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Misi Cekap & Cepat, Kira & Padan, Imbangan & Minda, dan Belon Fantasia. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk merangsang pemikiran kreatif dan logik dalam kalangan kanak-kanak, serta menggalakkan mereka mencari penyelesaian kepada cabaran yang diberikan. Melalui aktiviti-aktiviti ini, kanak-kanak dapat membina kemahiran menyelesaikan masalah dan meningkatkan penguasaan operasi matematik mudah serta pemahaman asas sains dan teknologi dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.

Penyampaian hadiah kepada peserta telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, Dekan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif. Program ini diharapkan dapat memupuk minat awal kanak-kanak terhadap subjek STEM dan membina asas kognitif serta motor mereka. Dengan penganjuran program seperti ini, Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti SQS akan terus komited dalam usaha memperkasa pendidikan STEM di peringkat awal dan menyumbang kepada pembangunan generasi masa depan yang lebih celik sains dan teknologi.

Berita oleh: Dr. Mohd Azri Pawan Teh

Gambar oleh: JK Jaringan Industri dan Komuniti, SQS