Sintok, 9 November 2024 - Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah meraikan pencapaian cemerlang para graduan pasca siswazah, khususnya kumpulan pertama pelajar Master Sains (Penyelidikan Operasi & Analitik). Majlis makan malam graduasi yang berlangsung di Manager's Coffee UUM tersebut dipenuhi dengan keriangan, kebanggaan, dan inspirasi. Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Akademik, Dr Sahubar Ali Mohamed Nadhar Khan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof Madya Dr Nerda Zura Zaibidi dan para pensyarah SQS, yang bersama-sama berkongsi kebanggaan dan penghargaan terhadap kejayaan para graduan. Persembahan istimewa daripada mahasiswa UUM juga berjaya menambahkan suasana kemeriahan dan kegembiraan pada malam tersebut. Para graduan ini telah menjadi inspirasi kepada pelajar sarjanamuda dengan menunjukkan bahawa kejayaan dan pencapaian tinggi adalah sesuatu yang boleh dicapai dengan usaha dan dedikasi. SQS berharap para graduan akan terus berhubung dan menjadi sebahagian daripada komuniti SQS. Graduan ini telah berjaya menceburi pelbagai bidang seperti insurans, pengilangan, dan telekomunikasi, menunjukkan kebolehan dan kepakaran mereka dalam pelbagai industri. Semoga mereka akan terus menabur bakti kepada masyarakat dengan berkongsi kepakaran dalam bidang data analitik, membantu meningkatkan pemahaman dan penggunaan data dalam pelbagai sektor supaya pembuatan keputusan yang terbaik dapat dilaksanakan.