27 Oktober 2024: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencatatkan sejarah penting dengan melancarkan Data Literacy Centre (DataLit), sebuah pusat yang bertujuan memperkukuh celik data dalam kalangan pelajar universiti.
Perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Uzir Mahidin pada SQS Quantifest 2024, baru-baru ini.
DataLit, yang terletak di Dewan Seminar SQS akan menjadi pusat setempat yang menyokong pelbagai bidang dalam pengurusan data, terutamanya bagi pelajar di UUM.
Pengurus DataLit, Prof. Madya Dr. Suhaida Abdullah berkata, pusat ini bukan sahaja menyediakan rujukan dan khidmat nasihat mengenai pengurusan data tetapi juga bertindak sebagai platform untuk mempromosikan celik data dan teknologi dalam kalangan seluruh komuniti akademik di UUM.
Menurutnya, DataLit berperanan sebagai titik utama dalam usaha UUM untuk memperkasa kemahiran sains data dalam kalangan pelajar, seterusnya memberi impak positif kepada industri.
Pusat ini dikendalikan oleh pelajar di bawah pengawasan Institute of Strategic Industrial Decision Modeling (ISIDM) yang merupakan School Centre of Excellence (SCoE) bagi SQS.
ISIDM bertanggungjawab dalam menggerakkan aktiviti latihan, penyelidikan dan penerbitan yang selaras dengan matlamat untuk memenuhi KPI dalam Pelan Strategik UUM. Selain itu, penubuhan DataLit juga bertujuan untuk menyokong aspirasi penubuhan ISIDM sebagai pusat kecemerlangan yang menjadi teras kepada pengembangan SQS di masa hadapan.
Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim mengucapkan tahniah kepada 10 Felo Junior DataLit yang telah terpilih daripada 36 pemohon.
Menurutnya, felo-felo ini terdiri daripada pelajar doktor falsafah dan sarjana muda dari program Sains Pemutusan, Matematik Perniagaan, dan Statistik Industri.
Katanya, pemilihan mereka adalah satu bentuk penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen tinggi yang telah mereka tunjukkan dalam bidang sains data.
“Saya percaya felo ini akan memainkan peranan penting dalam membawa DataLit ke tahap yang lebih tinggi, sekali gus memberi impak yang signifikan dalam memajukan lagi kecekapan sains data di kalangan pelajar,” katanya.
Majlis perasmian SQS Quantifest 2024 diakhiri dengan lawatan oleh Dr. Uzir ke bilik operasi ISIDM dan DataLit, di mana beliau berpeluang melihat kemudahan yang disediakan dan berinteraksi dengan pensyarah serta Felo Junior DataLit.
Lawatan tersebut memberi gambaran lebih jelas tentang potensi DataLit dalam menyokong perkembangan sains data di UUM dan memberikan peluang kepada pelajar untuk lebih berinteraksi dengan dunia data yang semakin berkembang pesat.
Dengan pelancaran DataLit, UUM bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai pusat pengajian terkemuka dalam bidang sains kuantitatif, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran mereka dalam dunia digital yang didorong oleh data.
DataLit diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembelajaran dan inovasi dalam bidang ini, selaras dengan perkembangan pesat teknologi dan keperluan industri masa kini.