Previous Next

SCITECH4U STEM CAMP MOSTI 2024 PENDEDAHAN AWAL KEPADA DUNIA STEM

Sintok, 15 Oktober 2024 – Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah berjaya menganjurkan program SCITECH4U STEM CAMP MOSTI 2024. Program sehari ini melibatkan 100 pelajar tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman. guru-guru pengiring, fasilitator dan urusetia dari SQS.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah mengenai dunia STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik). Antara aktiviti yang dijalankan termasuk "Misteri Nombor Perdana", yang memupuk minat pelajar terhadap matematik, serta "Melodi Air & Lontaran Katapult", yang menggabungkan unsur sains dan kejuruteraan melalui aktiviti yang menyeronokkan. Aktiviti-aktiviti ini direka bentuk untuk menarik minat pelajar terhadap bidang STEM dengan cara yang kreatif dan interaktif.

Aktiviti Melodi Air mengasah kebolehan dan kreativiti pelajar untuk membina kincir air menggunakan bahan-bahan yang disediakan. Manakala aktiviti kemuncak iaitu Lontaran Katapult memerlukan pelajar membina katapult untuk melontar buah batu seremban sejauh mungkin, memberi mereka pengalaman praktikal dalam konsep fizik seperti daya dan gerakan. Secara keseluruhan, SCITECH4U STEM CAMP MOSTI 2024 berjaya memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta dalam menerokai dunia STEM di luar bilik darjah dengan cara yang menyeronokkan dan mendidik.

Dekan, Prof. Dr Haslinda Ibrahim berharap pendedahan aktiviti mengenai dunia STEM ini dari peringkat awal persekolahan mampu mencetus minat kepada pelajar untuk terus mendalami ilmu STEM ini. Program SCITECH4U STEM CAMP MOSTI 2024 diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Yang Berusaha En. Wan Ishak Bin Soed, Pengurus Besar Negeri Kedah/Perlis, Tenaga Nasional Berhad kepada para pemenang untuk setiap aktiviti.

 

Oleh: Teo Zhi Yin & Moganapirya

Gambar oleh: Siti Nuranis Syafiqah Binti Shamsuri, Muhammad Haqif Farish Bin Mohd Hashim, Projeet Roy, Teo Zhi Yin, Moganapirya a/p Ponniraja