Previous Next

ICOQSIA 2024 PLATFORM INOVASI DALAM BIDANG SAINS KUANTITATIF DAN APLIKASI DALAM SEKTOR MULTIDISIPLIN

The 8th International Conference on Quantitative Sciences and its Applications’ (ICOQSIA 2024) telah berlangsung selama dua hari bermula 17 September lalu di EDC UUM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed telah merasmikan persidangan yang berprestij itu.

Menurutnya, ICOQSIA berjaya menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pakar industri dan pengamal dari pelbagai disiplin ilmu bagi berkongsi, membincangkan dan membentangkan pengetahuan terkini dalam bidang sains kuantitatif.

Katanya, persidangan ini bukan sahaja memupuk budaya penyelidikan dan inovasi, malah mengukuhkan kedudukan sains kuantitatif sebagai elemen penting dalam pelbagai bidang aplikasi dan penyelesaian masalah kontemporari.

ICOQSIA 2024 berfungsi sebagai platform unggul untuk menggalakkan kerjasama, perbincangan ilmiah, dan pertukaran pengetahuan, sekali gus menyumbang kepada perkembangan dan inovasi dalam bidang sains kuantitatif dan aplikasinya dalam pelbagai sektor multidisiplin.

Persidangan ini menyaksikan pembentangan pelbagai kertas penyelidikan asli yang mencakupi topik-topik penting seperti statistik bukan parametrik, teknik statistik multivariat, kebarangkalian dan proses stokastik, simulasi dan pemodelan, pengoptimuman system dynamics, heuristik, teori kawalan, peramalan, statistik perniagaan, dan kombinatorik.

Selain itu, ICOQSIA 2024 turut memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti kawalan kualiti, matematik gunaan, pemodelan statistik, algebra, teori nombor, teori kabur, kewangan matematik dan aktuari, analisis berangka, serta sains komputer matematik. Setiap pembentangan telah dihasilkan oleh penyelidik dan pakar yang berdedikasi, yang berkongsi penemuan dan inovasi terkini dalam bidang masing-masing.

Persidangan ini juga menawarkan peluang rangkaian yang luas bagi para peserta yang membolehkan mereka berinteraksi dengan rakan sebidang, pakar industri, dan penyelidik dari seluruh dunia. Ini membolehkan pertukaran idea yang produktif dan kolaborasi antarabangsa dalam bidang kuantitatif.

Melalui penyertaan dalam ICOQSIA 2024, peserta berpeluang menerokai penyelidikan terkini, membina hubungan profesional dan menyumbang kepada pertumbuhan serta pembangunan berterusan dalam bidang sains kuantitatif.