Previous Next

BENGKEL PENGUKUHAN KOMPETENSI STAF SQS CAPAI OBJEKTIF PROGRAM AKADEMIK DAN SETIA KAWAN

5 September 2024 : Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Bengkel Pengukuhan Kompetensi Staf di Bahang Bay, Pulau Pinang selama tiga hari bermula 5 - 9 September lalu.

Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim berkata, program ini bertujuan untuk menaikan semangat daya kerja, memupuk semangat berpasukan dan setia kepada organisasi serta merapatkan hubungan silaturrahim antara staf.

“Saya mengharapkan semua staf bersatu hati dan setia bersama ‘SQS Dihatiku’,” katanya.

Hari pertama aktiviti bersama Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman dengan memokus kepada semakan kurikulum program Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Matematik Perniagaan), Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Statistik Industri) dan Sarjana Muda Sains Pemutusan Matematik dan Analitik dengan Kepujian.

Diikuti hari kedua dengan slot penulisan yang diketuai oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi di mana semua pensyarah mencurahkan idea dan mencari ilham untuk penerbitan secara sendiri atau berkumpulan.

Selain itu, semua staf diberi penerangan berkaitan pengenalan kepada amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) oleh Pengerusi Jawatankuasa EKSA SQS. Pelaksanaan amalan EKSA merupakan agenda universiti bagi mendapatkan pensijilan Amalan EKSA pada 2025 nanti.

Sebagai menghargai staf atas usaha dan komitmen menaikkan nama SQS dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan perkhidmatan, pusat pengajian telah meraikan mereka dalam Awards Night dengan pengiktirafan seperti Anugerah Akademik, Anugerah Penyelidikan, Anugerah Penerbitan dan Anugerah Pentadbiran.

Selain itu, SQS turut mengadakan aktiviti khidmat masyarakat dengan melakukan ‘plogging’ di tepi pantai dengan mengutip sampah sarap dan barangan terbuang di tepi pantai, manakala aktiviti riadah zumba dapat mengekalkan kecergasan diri dan ‘team building’ pula dapat memupuk rasa kesetiaan dan kekitaan di kalangan staf apabila bekerja secara berpasukan.