SQS Online: Sesi lawatan Penilaian Program Sarjana secara penyelidikan di bawah Pusat Pengajian Sains Kuantitatif telah selesai diadakan bermula 1 – 10 Julai 2024 melibatkan tiga Program Sarjana. Para Penilai Luar Akademik yang dilantik oleh Universiti ialah Prof. Dr Noriszura Ismail dari UKM untuk program Sarjana Sains Statistik dan Prof. Dato. Dr. Salina Daud dari UMPSA untuk program Sarjana Sains Sains Pemutusan. Manakala, Prof. Dr. Hailiza Kamarulhaili dari USM telah menilai Program Sarjana Sains Matematik.
Tujuan penilaian program ini adalah untuk memantapkan program-program akademik yang ditawarkan dengan mendapatkan penilaian dan pandangan dari pihak luar tentang struktur dan silibus program-program tersebut agar memenuhi program standard yang ditetapkan.
Sesi penilaian program dimulai dengan slot pengenalan pusat pengajian bersama pihak pengurusan dan diikuti dengan pengenalan kepada program yang dinilai. Selepas itu, turut diadakan sesi temu bual persama pihak pengurusan, penyelaras program, pensyarah dan pelajar/alumni.
Sepanjang sesi penilaian, penilai luar berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh SQS dan dokumen dapat disemak dengan mudah. Segala komen, cadangan dan pandangan daripada penilai luar akan diteliti bagi menambah baik kelemahan yang ada bagi semua program sarjana di bawah SQS.
Timbalan Dekan Akademik & Antarabangsa, Prof. Madya Dr Syariza Abdul Rahman mewakili Dekan sangat berbesar hati menyambut kehadiran para penilai luar dan merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen serta kesudian menilai program di bawah SQS. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada pensyarah serta pelajar/alumni yang sangat membantu memudahkan proses temu bual bersama penilai luar.