Previous Next

SINAR KEMANUSIAAN SQS BANTU 20 PELAJAR B40

07 Mei 2024 : Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah memberi sinar kepada 20 pelajarnya menerusi inisiatif “Sinar Kemanusiaan SQS” di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan SQS, baru-baru ini.

Anjuran program ini adalah hasil kerjasama antara Majlis Perwakilan Pelajar Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (MPP SQS) bersama Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UUM.

Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim berkata, tujuan utama inisiatif ini adalah untuk memberikan bantuan langsung kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi SQS yang memerlukan.

Menurutnya, melalui penyediaan bekalan makanan dalam bentuk hamper, program ini tidak hanya meringankan beban kewangan mereka, tetapi juga menunjukkan sokongan yang diberikan oleh pihak pengurusan universiti serta badan kepimpinan pelajar kepada mahasiswa yang memerlukan.

“Program ini dijangka akan meningkatkan kualiti pengalaman mahasiswa dan mahasiswi terhadap pengalaman mereka di UUM, serta memperkukuh kepercayaan dan kesetiaan terhadap institusi.

“Ini adalah langkah positif dalam membentuk persekitaran yang inklusif dan prihatin dalam kalangan mahasiswa universiti,” katanya.

Sementara itu, MPP SQS, Mohamed Yasin Abdul Jaffar berkata, mereka melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan dan keperluan mahasiswa serta mahasiswi SQS dipenuhi.

“Dengan pemberian bantuan sebegini, ia menjadi langkah penting dalam memenuhi kewajiban terhadap kebajikan mahasiswa.

“Hal ini turut mencerminkan komitmen MPP SQS untuk memastikan setiap mahasiswa serta mahasiswi dihargai dan disokong oleh komuniti universiti,” katanya.