Previous Next

PROGRAM MENGGILAP MUTIARA SEKOLAH BERASRAMA PENUH(SBP)

28 JANUARI 2024

Program Menggilap Mutiara Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu (IKUPS), Kedah pada 27-29 Januari 2024. Turut serta sebagai penganjur bersama program ini adalah Albukhary International University (AIU).

Program ini telah disertai oleh para pelajar dari tingkatan tiga dan tingkatan empat dengan sasarannya dari kalangan anak yatim dan keluarga berpendapatan rendah (B40). Seramai 142 pelajar dari 71 buah SBP seluruh Malaysia beserta 20 guru telah hadir di mana program ini dijalankan di AIU, Alor Setar pada.

Tujuan program ini adalah untuk memberi suntikan motivasi serta memupuk semangat jati diri dan kepimpinan dalam diri para peserta.  Satu slot aktiviti dalam program ini telah diberikan kepada Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) pada 28 Januari 2024. Seramai enam orang pensyarah dari SQS telah dijemput sebagai penceramah jemputan untuk memberi taklimat berkaitan hala tuju pendidikan dan kerjaya yang ditawarkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM). Penceramah yang terlibat ialah PM. Dr. Norazura Ahmad, Dr. Wan Laailatul Hanim Mat Desa, Dr. Aida Mauziah Benjamin, PM. Dr. Nor Aishah Ahad, PM. Dr. Nazihah Ahmad serta Dr. Nurul Nazihah Hawari.

Pelajar telah didedahkan dengan peluang pendidikan selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Peserta turut diperkenalkan dengan bidang kerjaya yang diperlukan pada masa sekarang dan akan datang. Program berdurasi tiga jam bersama pensyarah SQS ini dimeriahkan dengan aktiviti “Decision-Making Activity: Let’s Shopping!”. Aktiviti berdasarkan pengetahuan pengaturcaraan linear ini memerlukan peserta membeli belah bermodalkan RM50. Pemenang dipilih berdasarkan tiga kriteria iaitu baki modal paling sedikit, kuantiti barangan belian yang paling banyak, serta pemilihan pemberat paling tinggi. Kumpulan terbaik bagi setiap kriteria telah dinobatkan sebagai pemenang.

Majlis penutup program ini diadakan keesokan harinya di The Jerai Hill Resort and Hotel, Gunung Jerai. Prof. Dr Haslinda Ibrahim, Dekan SQS, menerima sijil penghargaan program dari Yang Berusaha Encik Ab Azizi Mamat, Pengarah BPSBP.

Diharapkan program ini telah berjaya menyemai motivasi dan memupuk semangat jati diri di kalangan para peserta. Disamping itu, dapat membantu mereka mengenal pasti arah tujuan masa depan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Semoga "Mutiara" ini terus menyinar terang.