Previous Next

SQS dan TNB seiring mendekati komuniti Pondok Moden Darussalam

 

Pondok Moden Darussalam, Changlun Kedah | 12 Oktober 2023 : Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) UUM berjaya melaksanakan Program Pertanian Lestari berkonsepkan akuaponik dan khidmat masyarakat di Pondok Moden Darussalam, Changlun. Pondok Moden Darussalam Changlun (PMDC) merupakan Lembaga Pendidikan Islam yang mengutamakan pengajaran Dirasah Islamiyyah, Dirasah Lughowiyyah dan pendidikan karakter. Berdiri sejak tahun 2015 dan berdaftar di Jabatan Agama Islam Negeri Kedah pada tahun 2017. Program ini berjaya direalisasikan hasil sumbangan TNB melalui sumbangan tanggungjawab sosial korporat TNB Kedah/Perlis (CSR).

Menurut Pengarah program, Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad, “SQS UUM berusaha mewujudkan kerjasama dan saling interaksi antara universiti, industri dan komuniti setempat dalam proses pemindahan pengetahuan, kemahiran dan teknologi terutama berkaitan pertanian akuaponik untuk manfaat bersama”.

“Semoga program ini dapat membantu pihak Pondok untuk menghasilkan sumber makanan sendiri iaitu ikan dan sayuran melalui kaedah akuaponik dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi” ucapnya semasa mengakhiri ucapan pembukaan beliau.

Pada majlis tersebut, TNB diwakili oleh Pengurus State Stakeholder Affairs Negeri (Kedah & Perlis) En. Abdul Manaf Bin Othman yang juga mewakili Pengurus Besar Negeri (Kedah & Perlis) telah menyerahkan gimik dana CSR TNB kepada Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi, serta merasmikan Program Pertanian Lestari dan Khidmat Masyarakat tersebut.

Menurut beliau “TNB mempunyai peruntukan di bawah bantuan CSR kebajikan, pendidikan, alam sekitar, sosio ekonomi dan sukan untuk dimanfaatkan oleh penerima yang layak”.

Semasa program berlangsung, semua yang terlibat telah dibawa melawat set akuaponik yang kehijauan dengan sayuran segar dan melihat ikan talapia yang turut ditempatkan di dalam dua buah kolam dalam set EZEE DIY Aquaponics ini.

Pengetua Pondok Moden Darussalam, Ts. En. Mat Nor Muhamad bin Ismail melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak TNB dan SQS UUM yang sudi terlibat dalm menjayakan program ini.

Kelab Kebajikan Staf SQS turut serta menyumbangkan tujuh pokok buah-buahan yang ditanam oleh warga SQS dan para pelajar di sekitar Pondok Moden Darussalam serta sumbangan bantal kepada pelajar di pondok tersebut. Semoga program ini dapat memberi impak positif kepada semua pihak yang terlibat.