17 Januari 2023 : Sebanyak 64 kertas kajian pelajar tahun akhir berjaya dibentangkan dalam The 2nd Decision Science Symposium 2023 (DSS 2023) yang telah diadakan pada 17 Januari 2023 yang lepas. Pelbagai kajian dengan permasalahan terkini berjaya diselesaikan dan dibentangkan oleh pelajar-pelajar tahun akhir dalam bentuk poster dengan mengaplikasikan teknik-teknik pembuatan keputusan yang telah dipelajari sepanjang pengajian mereka di SQS. Pelajar turut dinilai oleh dua orang penilai yang terdiri daripada Pensyarah Sains Pemutusan bagi memberi peluang dan latihan kepada pelajar merasai pengalaman menjalankan kajian serta mempersembahkan hasil kajian mereka kepada orang lain. Penyelaras Kursus SQQP4123 Projek Penyelidikan dalam Sains Kuantitatif, Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman berkata, DSS 2023 mampu memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir dengan lebih kritis dan kreatif bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan menggunakan teknik yang bersesuaian serta ia membuka ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan apa yang telah pelajar pelajari sebelum ini.
DSS 2023 merupakan platform pelajar-pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Pemutusan) mempersembahkan projek hasil kajian akhir masing-masing. Pelajar perlu menghasilkan kajian berbentuk penyelesaian masalah dengan menggunakan Teknik-teknik pembuatan keputusan yang telah dipelajari sepanjang pengajian mereka di UUM amnya, dan SQS khususnya. Mereka diberi pilihan untuk memilih bidang dan masalah yang berada disekitar lalu menggunakan salah satu teknik untuk membantu pembuatan keputusan. Antara teknik-teknik yang telah dipelajari termasuklah pengoptimuman linear dan integer, pembuatan keputusan pelbagai kriteria (multi-criteria decision making – MCDM), pemodelan simulasi diskrit atau sistem dinamik, pelombongan data, teknik heuristik dan tidak ketinggalan pembangunan pangkalan data, pembangunan sistem, dan juga penyediaan papan pemuka (dashboard). Penyelesaian masalah ini dapat membantu pembuatan keputusan yang lebih efektif serta mampu meningkat perjalanan operasi dalam sesebuah organisasi ataupun syarikat. Penyelidikan yang dijalankan diletakkan di bawah bimbingan seorang pesyarah Sains Pemutusan yang bertindak sebagai penyelia.
Majlis penutup telah disempunakan oleh Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi dengan menyampaikan sijil penyertaan kepada semua pembentang, dan anugerah pembentangan poster terbaik kepada 15 orang pelajar, yang terdiri daripada tiga pingat emas, lima pingat perak dan 7 pingat gangsa. Penganjuran Simposium ini turut dibantu oleh 19 orang pelajar tahun dua secara sukarela bagi mendapatkan pengalaman menganjurkan program berbentuk akademik seperti ini.