Sintok: STEM adalah singkatan kepada bidang disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Pendidikan STEM adalah kurikulum yang berdasarkan idea mendidik pelajar menggunakan pendekatan mengintegrasikan keempat bidang ini berdasarkan aplikasi dunia sebenar. Sehubungan dengan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dengan kerjasama Institute of Strategic Industrial Decision Modelling (ISIDM), SQS Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Stem Camp: The Campsite Route 007 pada 23 October 2018 yang lalu bertempat di Anjung Teakoma, EDC-UUM. Bengkel tersebut bertujuan untuk memberi pendekatan dan pendedahan terhadap bidang STEM di samping menekankan kepentingan pengaplikasian STEM dalam polar dan corak kehidupan seharian. Kem ini telah disertai oleh 24 orang pelajar tingkatan 3 dari 8 buah sekolah berlainan.
Delegasi UUM diwakili oleh enam pensyarah Prof Dr. Haslinda Ibrahim, Dr. Wan Laailatul Hanim Mat Desa, Prof Madya Dr. Nazihah Ahmad, Dr. Mohd Saiful Adli Mohamad, Dr. Norhayati Yusof dan Dr Masnita Misiran. Kumpulan tersebut juga disertai lapan orang pelajar Persatuan Sains Kuantitatif (QuSAc) yang bertindak sebagai fasilitator kepada peserta bengkel. Turut hadir ialah dua orang wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) iaitu Abd Aziz bin Mohamad Noh selaku Ketua Penolong Pengarah Sains serta Luthfi bin Mohd Radzi selaku sektor pengurusan akademik.
Bengkel tersebut kemudian dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Prof. Dr. Haslinda Ibrahim mengenai STEM di Malaysia khususnya di Kedah. Majlis dirasmikan oleh Prof. Dr. Engku Muhammad Nazri Engku Abu Bakar. Seterusnya, sebanyak tiga aktiviti dikendalikan oleh fasilitator dan mentor daripada UUM iaitu Nombor Rahsia, Penjelajahan ke Tapak Perkhemahan dan Pembinaan “Miniature” Tapak Perkhemahan . Aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan ini mengintegrasikan bidang STEM melalui kaedah penjelajahan, penemuan dan pembangunan (ExDiD).
Sekitar jam 11:00 pagi sehingga 12:30 tengahari, sementara bengkel dijalankan di EDC-UUM, sesi perkongsian ilmu yang bertajuk “Penataran Interaktif Pembelajaran STEM” telah disampaikan oleh Prof. Dr Haslinda di Bilik Seminar 2, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) yang melibatkan seramai 50 orang gurubesar dan guru-guru pengiring sekolah.
Permainan pertama yang diberi nama “nombor rahsia” adalah merupakan permainan yang bertujuan untuk membahagikan kumpulan. Permainan ini adalah berasaskan matematik dengan menggunakan teknik penambahan dan pembahagian. Permainan kedua, “Penjelajahan ke Tapak Perkhemahan” pula adalah merupakan permainan yang memerlukan daya pemikiran yang kreatif di mana pelajar harus memikirkan tentang cara untuk ke tapak perkhemahan. Pelajar bebas memberi sebarang pandangan atas pemilihan jalan yang dipilih mengikut kreativiti masing-masing. Permainan ketiga, “Pembinaan Miniature Tapak Perkhemahan” adalah merupakan permainan yang juga menggunakan kreativiti pelajar dalam pembinaan “miniature”. Binaan tersebut seharusnya menggunakan skala yang munasabah dan daya tahan yang kukuh serta binaan realistik. Pelajar juga berpeluang untuk membentangkan pengalaman mereka sepanjang menjalankan aktiviti yang telah dilalui.
Seterusnya, sekitar jam 3:00 petang, majlis telah diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Encik Luthfi bin Mohd Radzi selaku sektor pengurusan akademik. Penyampaian sijil penyertaan dan ucapan perasmian penutup seterusnya diteruskan oleh Abd Aziz bin Mohamad Noh selaku Ketua Penolong Pengarah Sains. Selesai program, pelajar, guru pengiring serta pensyarah yang terlibat telah bergerak ke Anjung Tamu bagi mengisi Discover UUM.