PENSYARAH SQS MENJADI MENTOR KEPADA FASI DI BENGKEL I C D’BEAUTY IN STEM

PENSYARAH SQS MENJADI MENTOR KEPADA FASI DI BENGKEL I C D’BEAUTY IN STEM

KODIANG, 25 Julai: Baru-baru ini, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dengan kolaborasi Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel I C D’Beauty in STEM bersempena Karnival Eksplorasi STEM dan Larian PIDA Peringkat Negeri Kedah pada 25 Julai 2018 lalu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Dewa, Kodiang, Kedah.

STEM adalah singkatan kepada bidang disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Ia menjadi agenda penting dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang tersebut untuk kepentingan negara serta kerjaya pada masa akan datang.

Objektif utama bengkel adalah untuk memberi pendekatan dan pendedahan terhadap bidang STEM di samping menekankan kepentingan pengaplikasian STEM dalam pola dan corak kehidupan seharian. Selain SMK Megat Dewa yang menjadi tuan rumah, bengkel ini turut disertai sembilan buah sekolah sekitar negeri Kedah seperti Sekolah Menengah Sains (SMS) Kubang Pasu, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu, SMK Bandar Darulaman, SMK Changlun dan SMK Jitra.

Delegasi UUM yang diwakili oleh pensyarah daripada Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) , Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad dan Dr. Masnita Misiran serta 33 orang pelajar Pusat Asasi Pengurusan bertindak sebagai mentor dan fasilitator kepada peserta bengkel yang terdiri daripada 49 orang pelajar Tingkatan 4.

Bengkel I C D’ Beauty In STEM melibatkan pembahagian kumpulan serta aktiviti seperti rekabentuk Kapal Terbang Kertas, “Energizer Fibonacci STEM Dance” dan permainan Menara Hanoi. Kesemua aktiviti tersebut mengintegrasikan bidang STEM melalui kaedah penjelajahan, penemuan dan pembangunan (ExDiD). Menurut Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, “pendekatan STEM secara bersepadu dan merentas disiplin, perlu diasah dan dipraktikkan kepada pelajar agar dapat mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran dalam mendepani cabaran Revolusi Industri Keempat”. Seorang peserta bengkel yang ditemu bual , Siti Fatimah Azzahra Azmi, pelajar SMS Kubang Pasu yang bercita-cita untuk menjadi seorang Pakar Matematik berpendapat bahawa bengkel ini sangat bagus dan bermanfaat kerana beliau dapat berkomunikasi dengan pelajar lain dan berkongsi pengetahuan berkaitan STEM. Beliau berpendapat bahawa bengkel sebegini harus diteruskan kerana negara kita memerlukan generasi muda yang dapat mengaplikasikan STEM dalam penyelesaian masalah harian mereka”.

Bengkel separuh hari tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil oleh Puan Siti Asma kepada kumpulan pemenang dan para peserta.

Berita & Video: SQS & Pusat Asasi