Pada 2 hingga 4 Januari 2025, program ‘Add Math is Easy’ telah berjaya dilaksanakan dengan matlamat untuk mengubah persepsi negatif pelajar terhadap Matematik Tambahan. Program ini memberi tumpuan kepada pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, mudah difahami, dan relevan dengan kehidupan seharian, sekaligus meningkatkan keyakinan dan minat pelajar tingkatan 3 terhadap subjek tersebut sebagai persedian untuk mereka mempelajari subjek ini pada tingkatan 4.
Program ini melibatkan kerjasama erat antara Alumni Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (ASPUTRA), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Inasis Bank Rakyat, serta Jabatan Sumber Manusia, Universiti Utara Malaysia. Kerjasama ini menunjukkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuhkan asas STEM di kalangan pelajar melalui pendekatan yang inklusif dan efektif.
Sepanjang tiga hari program berlangsung, peserta telah didedahkan kepada teknik-teknik mudah dalam memahami konsep Matematik Tambahan oleh tutor profesional. Selain itu, pelajar juga dilatih untuk mengaplikasikan kemahiran ini dalam menyelesaikan masalah secara logik dan analitikal, sesuai dengan keperluan dunia moden yang berasaskan teknologi dan data.
Pengarah program, Dr. Nurhaizal Azam Arif dari ASPUTRA turut menyatakan harapan bahawa inisiatif ini mampu memberi impak positif kepada peserta, termasuk dari segi pengetahuan, kemahiran, sikap, dan aspirasi. Pengarah Bersama dari SQS, PM Dr. Nor Aishah Ahad percaya bahawa kolaborasi antara universiti, komuniti, agensi, dan industri adalah kunci utama dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing dalam bidang STEM.
Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini! Semoga usaha ini terus menjadi inspirasi kepada pelajar untuk menguasai Matematik Tambahan dan membina masa depan yang cerah.
Berita dan gambar: Dr. Nor Aishah Ahad