Kunjungan Hormat dan Kuliah Kerja Lapangan

SQS, 14 Jan: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah menerima lawatan daripada delegasi Universitas Muslim Nusantara (UMN) Al-Washliyah, Medan, Indonesia.

Delegasi diketuai oleh Prof. Dr. H. Ahmad Laut Hasibuan, Direktor Pasca UMN dan diiringi oleh seorang tenaga akademik iaitu Dedy Juliandri serta lapan orang pelajar siswazah. Delegasi disambut mesra oleh Dekan dan Penjawat SQS serta sepuluh orang pelajar sarjana. Objektif lawatan adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa pasca sarjana (S2) UMN sebelum meyelesaikan kerja akhir thesis masing-masing.

Dekan SQS merakamkan ucapan terima kasih dan selamat datang kepada delegasi dari UMN Sumatera Utara dan berharap supaya lawatan ini membuka ruang bagi kedua-dua belah pihak untuk berkolaborasi dalam sebarang aktivti di masa akan datang. Pihak SQS juga turut mempelawa pelajar-pelajar sarjana UMN untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada kedua-dua pihak. Sebelum berangkat pulang, delegasi di bawa melawat di sekitar bangunan SQS termasuk makmal, pejabat am dan bilik pensyarah.

Sekian.