Family Day SQS Jalin Kemesraan antara Staf

Merbok, 20 Oktober: Hampir 200 orang staf bersama ahli keluarga masing-masing telah menghadirkan diri bagi menjayakan ‘Family Day SQS’ anjuran Kelab Kebajikan Staf Pusat Pengajian Sains Kuantitatif yang bertempat di Damai Park Resort,Merbok. Program dimulai dengan ucapan aluan oleh Puan Dekan, Prof Dr Sharipah Soaad Syed Yahaya. Beliau melahirkan rasa gembira dengan kehadiran dan sokongan yang diberi dalam menjayakan program tersebut. Beliau juga berharap dengan adanya program santai seperti ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara staf dan secara tidak langsung dapat meredakan tekanan di tempat kerja.

Kemudian, hadirin diajak melakukan senamrobik yang diketuai oleh Puan Rosmawati, isteri kepada Prof Madya Dr Azizan Saaban. Sebelum menyertai acara sukaneka yang dikendalikan oleh pihak resort, hadirin terlebih dahulu dibahagikan mengikut empat kumpulan warna iaitu merah, biru, kuning dan hijau, masing-masing diketuai oleh Dr. Jafri, Dr. Ruzelan, Prof Madya Dr. Kamal dan En. Nor Hisham. Antara acara sukaneka yang diaturkan termasuklah musical chair bagi semua kategori (kanak-kanak dan dewasa), bowling padang, lari berpasangan, musang berjanggut dan juga isi air dalam belon.

Selepas makan tengahari, dekan menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori kanak-kanak dan kumpulan yang bertanding. Johan keseluruhan acara sukaneka dimenangi oleh kumpulan Hijau, manakala naib johan disandang oleh kumpulan Biru. Kumpulan Kuning dan Merah masing-masing membawa pulang hadiah tempat ketiga dan keempat. Sebelum pulang, hadirin mengambil peluang untuk bermandi-manda di sungai berhampiran bersama keluarga masing-masing.  

Sekian.

familyday2018 1

 

Penulis:  Norhayati Yusof & Nor Intan Saniah Sulaiman
Gambar: Norhayati Yusof