Fly with Mathematics - Kesinambungan Pembelajaran Interaktif untuk Pelajar Asasi Pengurusan oleh Pensyarah Matematik SQS

SQS, 2 Oct: Pembelajaran interaktif berbentuk aktiviti dan penyelesaian masalah terbukti berkesan dengan kejayaan berlangsungnya Program “Fly with Mathematics” yang diadakan pada 2 October 2018 bertempat di Dewan Seminar, SQS. Program tersebut adalah kerjasama antara pensyarah Jabatan Matematik dan Statistik, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) dengan Pusat Asasi Pengurusan UUM. Program ini ternyata memberi impak positif kepada pelajar asasi yang mengikuti kursus AQ0013 Fundamental of Mathematics I.

Realitinya matematik diaplikasikan dalam kehidupan seharian untuk menyelesaikan permasalahan tertentu. Asas kefahaman dalam matematik yang memerlukan reaksi aktif pelajar tidak mampu untuk dicapai sekiranya kursus matematik diajar secara tradisional dalam ruang lingkup tertutup di dalam kelas. Hal ini kerana matematik merupakan satu kursus yang penting dalam membina pemikiran kritis di kalangan pelajar sejajar dengan kedudukannya sebagai sebahagian komponen di dalam STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics). 

Oleh itu, beberapa aktiviti pembelajaran interaktif berdasarkan silibus kursus AQ0013 diadakan dengan tujuan untuk merealisasikan visi tersebut di samping membantu Pusat Asasi Pengurusan menambah baik sistem penyampaian pengajaran dan pembelajarannya ke arah yang lebih progresif dan berdaya saing.

Aktiviti pembelajaran interaktif bermula di awalseawal semester pembelajaran asasi yang mana pelajar berpeluang menyertai Bengkel “ I C D Beauty in STEM” yang diadakan pada 25 Julai 2018 anjuran SQS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah sempena Karnival Eksplorasi STEM dan Larian PIDA Peringkat Negeri Kedah. Seterusnya, pelajar dilibatkan dengan aktiviti Function yang dilaksanakan di Stadium UUM. 

Program “Fly With Mathematics” menyaksikan persembahan yang menerapkan elemen matematik iaitu “Energizer Hip Hop Fibonacci Dance” dan "Function Dance" diketuai oleh ahli jawatankuasa persembahan, Muhammad Haziq Ridzuan dan Deevagaran Naidu a/l Baskaran. Seterusnya, program diisi dengan pembentangan 4 minutes Mathematics Talk ((2M)2 T). Turut diadakan adalah pertandingan poster merangkumi topik Inequality dan Sequence yang terdapat dalam silibus Fundamental of Mathematics I. Video persembahan Function yang telah dilaksanakan di Stadium UUM juga ditayangkan dalam program tersebut. 

Turut hadir ialah Profesor Madya Dr. Fauziah Abdul Rahim, pensyarah daripada Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden (SEML), Profesor Madya Dr. Nazihah Ahmad daripada Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) dan Dr. Massudi Mahmuddin, Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni Kolej Sastera dan Sains (PPA CAS) yang bertindak sebagai juri jemputan bagi pertandingan 4 minutes Mathematics Talk ((2M)2 T).

Menurut Profesor Madya Dr. Fauziah Abdul Rahim, program tersebut perlu dijadikan acara tahunan untuk pelajar Program Asasi Pengurusan kerana ia mampu memberi impak positif kepada pelajar dan mendedahkan mereka tentang aplikasi matematik. Beliau juga berkata bahawa program tersebut amat penting untuk menghasilkan pelajar kelas pertama setelah bergraduasi dari UUM yang mampu mengaplikasikan matematik dalam alam pekerjaan mereka. Pendapat beliau turut disokong oleh  Profesor Madya Dr. Munif Zarrirudin Fikri Nordin, Timbalan Pengarah (Akademik) Pusat Asasi Pengurusan. Beliau  berpendapat rata-rata pelajar amat meminati penganjuran program sebegini kerana ia memperlihatkan kelainan dalam pembelajaran matematik era masa kini. Seorang pelajar yang ditemu bual, Nurul Anis Shahirah Binti Md Noor berkata program ini sangat menarik dan membantu pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang matematik.

Pada program tersebut juga, majlis penyampaian sijil kepada fasilitator bengkel dan urusetia program telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Haslinda Ibrahim manakala penyampaian hadiah untuk pemenang pembentangan poster telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Munif Zarriruddin Fikri Nordin.

Pada majlis penutup program “Fly with Mathematics”, Dekan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Profesor Dr. Sharipah Soaad Syed Yahaya telah berbesar hati menyampaikan hadiah kepada pemenang pembentangan video dan 4 minutes Mathematics Talk ((2M)2 T) serta juri jemputan.

Majlis diakhiri dengan sesi fotografi bersama tetamu jemputan dan pelajar Program Asasi Pengurusan.

Klik untuk lihat album gambar.

 

Penulis: Nur Allida Fietryah Ahmad Nahar & Muhammad Zulhusni Shokri (Pelajar Pusat Asasi Pengurusan UUM)
Editor: Norhayati Yusof
Gambar & Video: Amirul Luqman Abdul Hisham & Muhammad Afirudin Jamilan (Pelajar Pusat Asasi Pengurusan UUM)