Perkongsian Kemahiran dalam Bengkel Pengurusan Seminar

Kota Kinabalu, 31 Okt: Sempena seminar IACE2021 yang bakal diadakan di Istanbul, Turki, Jawatankuasa IACE SQS telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Seminar pada 28 hingga 31 Oktober 2019 yang lalu di Gaya Centre Hotel, Kota Kinabalu, Sabah. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan sekaligus meningkatkan kemahiran dalam pengurusan pentadbiran seminar dikalangan ahli jawatankuasa (AJK). AJK juga berpeluang menimba ilmu proses penerbitan dan menyumbang pelbagai idea untuk meningkatkan penyertaan ketika sesi sumbang saran.

Pengerusi IACE, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim juga banyak berkongsi pengalaman dan panduan dalam mengendalikan seminar serta tips kerjasama dengan rangkaian antarabangsa. Dalam sesinya yang bertajuk " How to Draw a Crowd to a Conference" beliau menekankan empat komponen penting dalam mengendalikan seminar iaitu Publication, Speaker, Location & Theme. Antara modul lain yang disentuh dalam bengkel ini adalah “Easy Conference Management System using Easychair”, “Designing Effective Poster” dan “Producing a Conference Video Teaser”.

Di sesi terakhir bengkel ini, pengerusi IACE telah membentangkan perancangan rapi program IACE2021 (Pre). Dikesempatan itu juga, AJK IACE mengambil peluang mengadakan sesi fotografi dan videografi yang akan digunakan dalam pembikinan video teaser dan promo bagi tujuan promosi IACE2021.

SQS mengalu-alukan semua penyelidik, pensyarah dan pelajar dari dalam dan luar negara untuk menyertai IACE2021 di Istanbul, Turki. #istanbuliace2021

Ditulis oleh Abdul Malek Yaakob.