SQS…JOM MAKAN DURIAN… DAN SAYANGI BUMI HIJAU KITA

SQS Online: Sempena musim buah durian, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah mengadakan program ‘Jom Makan Durian dan Sayangi Bumi Hijau Kita’ melibatkan semua staf akademik dan staf pentadbiran, baru-baru ini.

Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Mohd. Kamal Mohd. Nawawi berkata, program itu adalah anjuran bersama Kelab Kebajikan Staf SQS dan Jawatankuasa Keceriaan dan Keselamatan SQS bertujuan mempromosikan budaya makan buah-buahan tempatan dalam kalangan staf bagi menjamin kesihatan.

Menurutnya, program santai ini juga turut menanam sikap kasih dan sayang staf terhadap kepekaan menghijaukan alam persekitaran.

“Di samping itu, ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara staf dan juga mewujudkan sifat keprihatian dalam menyemai semangat cintai dan hijaukan alam sekitar,” katanya.

Pada program itu, staf SQS turut menyemai biji durian di dalam beg poli yang disediakan.

Sekian. 

Ditulis oleh Wan Laailatul Hanim Mat Desa, Rosmaini Kashim & Zakiah Hashim
Gambar oleh Mohamad Fazme Mohamad