Majlis Anugerah Dekan Pemangkin Kecemerlangan Akademik

SQS Online: Majlis Anugerah Sijil Dekan yang berlangsung 30 April 2019 lalu dihadiri 67 orang pelajar daripada 249 orang penerima keseluruhan. Majlis ini diadakan bagi memberi penghargaan kepada pelajar yang memprolehi kejayaan cemerlang dalam keputusan peperiksaan semester A181. Majlis yang diadakan di Dewan Seminar 2, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) dianjurkan dengan kerjasama daripada pelajar QUSAC turut dihadiri oleh Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Mohd. Kamal Mohd. Nawawi bersama ahli Pengurusan SQS serta staf akademik. Turut hadir adalah pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Saudari Fatin Marissa Abd Aziz.

Dalam amanat dan ucapan yang disampaikan oleh Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Mohd. Kamal Mohd. Nawawi berkata, pelajar SQS perlu terus konsisten mengekalkan pencapaian yang diperolehi. Ianya penting bagi menjadikan SQS sebagai sebuah Pusat Pengajian yang cemerlang selain program-programnya yang akan menjadi pilihan kepada bakal mahasiswa di luar sana. Terdahulu, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pelajar SQS yang berjaya memandangkan jumlah penerima sijil Dekan kali ini lebih ramai berbanding sebelumnya. Beliau juga turut mengucapkan syabas kepada semua pensyarah SQS yang bertungkus lumus memastikan pelajar SQS berjaya dalam akademik. Dalam ucapan tesebut, beliau mengumumkan bahawa pada Majlis Konvokesyen Universiti tahun lepas, pelajar SQS yang mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan sahsiah telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Kulim Technology Park Cooperation (KTPC)  disamping pingat yang sedia ada seperti Anugerah Pingat AXIATA dan Anugerah Pingat Intel. Justeru beliau menyeru kepada semua pelajar untuk mengambil peluang bagi meningkatkan pencapaian akademik selain turut aktif dalam aktiviti ko-kurikulum.

Dalam majlis yang sama wakil pelajar yang juga MPP, Saudari Fatin Marissa Abd Aziz berkata, semua pelajar SQS hendaklah menghargai peranan dan jasa yang diberi oleh para pensyarah SQS. Selain itu menurutnya, kejayaan yang dicapai bukanlah semata-mata kejayaan individu tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan UUM umumnya. Ujarnya lagi, ilmu yang diperolehi perlu juga digunakan untuk membantu rakan-rakan mahasiswa yang lain. Majlis diakhiri dengan penganugerahan seramai 67 orang penerima anugerah yang hadir.

Gambar oleh QUSAC.