Program SULAM: Literasi Kewangan berasaskan Pemodelan Matematik kali ke-2

Program SULAM: Literasi Kewangan berasaskan Pemodelan Matematik kali ke-2

 

Sintok,18 Jun 2022 - Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu telah mengadakan Program SULAM: Literasi Kewangan berasaskan Pemodelan Matematik kali ke-2 di Daerah Kulim Bandar Baharu. Program ini telah dijalankan dalam talian Google Meet pada 18 Jun 2022 dan disertai oleh 148 orang pelajar tingkatan 3, 4 dan 5 daripada SMK Taman Jelutong, SMK Kulim dan SMK Lunas yang majoritinya terdiri daripada golongan B40, serta dikelolai oleh 60 orang mahasiswa SQS (mentor) daripada Program Ijazah Sarjana Muda Matematik Perniagaan. Program SULAM atau universiti untuk masyarakat ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi yang membolehkan mentor menyumbang ilmu pengetahuan dan pengalaman dengan bimbingan pensyarah berasaskan hasil pembelajaran kursus Pemodelan Matematik kepada komuniti Kulim di bawah Program Satu Pusat Pengajian Satu Daerah.

Majlis telah dirasmikan oleh Encik Abu Bakar bin Man, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu. Encik Abu Bakar berharap agar peserta dapat menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program dan dapat mempraktis pengetahuan tersebut. Beliau juga berharap kerjasama antara SQS UUM dan PPD Kulim Bandar Baharu akan terus terjalin supaya dapat sama sama membantu bagi meningkatkan kualiti dan kelestarian pendidikan di Daerah Kulim Bandar Baharu.

Mentor mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk membangunkan aktiviti dengan bimbingan oleh Prof. Madya Dr. Masnita Misiran dan Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad selaku pensyarah kursus Pemodelan Matematik. Mentor juga didedahkan dengan pengetahuan kewangan oleh Encik Wallace Leong yang merupakan seorang perancang kewangan berlesan dan alumni SQS.

Program SULAM kali ke-2 ini telah memantapkan lagi pengetahuan pelajar dengan pengurusan dan perancangan kewangan dan mengatur perbelanjaan secara bijak berdasarkan topik yang berkaitan dengan pemodelan matematik, matematik pengguna, fungsi linear, fungsi kuadratik dan fungsi eksponen. Aktiviti yang dirangka melibatkan penyelesaiaan masalah kehidupan sebenar dengan menggarapkan elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan menggunakan peralatan teknologi seperti Desmos.

Pengisian progam SULAM kali ini adalah pengurusan dan perancangan kewangan dengan membina dashboard bagi mendapatkan gambaran visual kewangan dan mengatur perbelanjaan secara bijak berdasarkan topik yang berkaitan dengan pemodelan matematik, matematik pengguna, fungsi linear, fungsi kuadratik dan fungsi eksponen. Aktiviti yang dirangka melibatkan penyelesaiaan masalah kehidupan sebenar dan menggarapkan elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan menggunakan peralatan teknologi seperti Desmos dan Microsoft Excel.

Semua peserta sangat berpuas hati dan memberi maklum balas yang positif tentang program SULAM ini dan mengharapkan agar pada masa hadapan, program seumpama ini dapat dijalankan lagi. Antara maklum balas daripada peserta, “sangat menyeronokkan dan saya belajar pelbagai perkara baru. Kesemua mentor sangat peramah dan amat membantu kami untuk memahamkan apa yang dipelajari, “mengajar saya menggunakan fungsi kuadratik dan web yang tidak pernah diketahui” dan “lebih kerap agar dapat mendedahkan murid dengan ilmu matematik yang baik.” Mentor juga sangat teruja diberi peluang mengajar dan berkongsi ilmu dengan para peserta. Melalui program ini juga, mentor dapat meningkatkan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.