ANUGERAH KECEMERLANGAN MENJADI PEMANGKIN AGAR STAF LEBIH KOMPETITIF DAN BERDAYA SAING

ANUGERAH KECEMERLANGAN MENJADI PEMANGKIN AGAR STAF LEBIH KOMPETITIF DAN BERDAYA SAING

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) dengan kerjasama Kelab Kebajikan SQS telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan SQS dan Majlis Sekalung Budi Seindah Kenangan  pada 10 Februari 2022 yang lepas bertempat di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah. Program ini telah dihadiri lebih 70 orang staf SQS terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran.

Pada majlis itu, sebanyak sembilan Anugerah Kecemerlangan SQS diberikan kepada staf yang layak mengikut penilaian dan kriteria yang telah digariskan. Antara anugerah Kecemerlangan tersebut adalah Anugerah Staf Kehadiran Terbaik (Pentadbiran), Anugerah Staf Pentadbiran Terbaik SQS, Anugerah Staf Akademik SQS Terbaik (Khidmat Masyarakat & Komuniti), Anugerah Staf Akademik SQS Terbaik (Inovasi & Pengkomersialan), Anugerah Staf Akademik SQS Terbaik (Pengajaran), Anugerah Penulis Terbaik SQS, Anugerah Penyelidik Terbaik SQS, Anugerah Ahli Akademik Harapan SQS dan Anugerah Tokoh Akademik SQS.

Disamping itu, pihak SQS juga turut menyediakan tiga buah anugerah popular SQS berdasarkan undian tertinggi yang telah dijalankan melalui Kelab Kebajikan. Antara anugerah popular yang dipertandingkan adalah Anugerah Staf Dedikasi & Proaktif, Anugerah Staf Ceria & Bergaya dan Anugerah Staf Paling Popular & Sempoi. Kelab Kebajikan SQS juga turut menganjurkan pertandingan mencipta logo kelab kebajikan dan pertandingan 10000 steps challenge.

Menurut Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi dalam ucapan aluannya, setiap organisasi sentiasa bersaing untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi bagi meningkatkan prestasi organisasi mereka dan dengan adanya majlis anugerah seperti ini akan menjadi satu platform dalam memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada staf yang bertungkus lumus menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dan komitmen terhadap perkhidmatan, katanya. Beliau juga berharap agar setiap staf SQS akan menjadi lebih berjaya maju dan bersaing pada masa mendatang seterusnya meletakkan SQS setaraf dengan pusat pengajian utama yang lain di UUM.

Menurut penerima anugerah Staf Pentadbiran Terbaik SQS iaitu Pn. Rafidah Mohamad Rafiak, beliau berharap anugerah ini mampu menjadi pemangkin untuk lebih berjaya di masa hadapan dan mampu menjadi peniup semangat kepada rakan-rakan yang lain untuk lebih berdaya saing dan berjaya.

Pada majlis yang sama, pihak SQS juga turut meraikan persaraan dua orang Profesor yang dianggap sebagai “IBU” di SQS. Kedua-dua figura penting di SQS iaitu Profesor Dr. Sharipah Soaad Syed Yahaya dan Profesor Dr. Maznah Mat Kasim akan bersara wajib pada bulan April dan Mei 2022. “Mood” majlis bertukar menjadi sedih apabila kedua-dua mereka menyampaikan ucapan persaraan, diselangi dengan lagu dan bacaan sajak yang menusuk ke dalam sanubari setiap jiwa staf.

Dalam ucapan Dekan SQS juga beliau mengatakan bahawa SQS bakal kehilangan dua butir permata yang sangat penting dalam menaikkan nama SQS sehingga ke tahap sekarang. Beliau dan seluruh warga SQS berdoa dan berharap agar kedua-dua mereka dikurniakan kesihatan yang baik dan akan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.