SQS BERTEKAD SEIRING DALAM MEREALISASIKAN AGENDA GAGAH UUM 2021-2025

SQS BERTEKAD SEIRING DALAM MEREALISASIKAN AGENDA GAGAH UUM 2021-2025

 

SQS Online: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah mengadakan pertemuan secara maya menerusi aplikasi webex bersama warga kerja Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) yang terdiri dari ahli akademik dan staf pentadbiran pada 30 Jun 2021 yang lepas.

Pada pertemuan itu, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah mengucapkan tahniah atas segala pencapaian yang diperoleh oleh pihak SQS dan memohon agar pihak SQS terus berusaha untuk menjadi sebuah pusat pengajian yang dihormati dan menjadi rujukan dalam semua aspek meliputi kualiti program akademik, penyelidikan, penerbitan dan lain-lain aspek berkaitan.

Dalam sesi perjumpaan tersebut, beliau menerangkan tentang Gagasan Akademia dan Admin Holistik (GAGAH) UUM 2021-2025 yang merupakan jentera yang akan memacu Pelan Strategik UUM khususnya untuk Teras 2 – Kecemerlangan Penyelidikan dan Teras 3 – Kelestarian Kerjasama Industri dan Komuniti.

“Terdapat beberapa inisiatif yang terkandung dalam GAGAH 2021-2025 seperti ‘Research, Publication, & Innovation Drive (RAPID) Initiative’ yang menjadi tulang belakang kepada usaha merealisasikan KPI dan PI Teras 2. Secara khususnya, inisiatif ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu berkaitan penyelidikan (RAPID 1), penerbitan (RAPID 2), inovasi @ harta intelek (RAPID 3) dan perundingan (RAPID 4)”, katanya.

Beliau juga menekankan tentang perlunya semua warga SQS untuk berganding bahu dalam merealisasikan visi, misi dan objektif SQS khususnya dan UUM amnya. Menurutnya lagi, untuk menjadi sebuah pusat pengajian yang cemerlang, SQS perlu meningkatkan lagi jumlah penyelidikan, penerbitan, dan kerjasama dengan industri dan komuniti

Sementara itu, Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi berkata, SQS akan terus berusaha secara konsisten dalam memastikan agenda menjadikan SQS sebagai sebuah pusat pengajian terkemuka dalam bidang sains kuantitatif di Malaysia dan serantau dapat direalisasikan suatu hari nanti.