ICOQSIA2020 FOKUS KEPENTINGAN UTAMA USAHA KOLEKTIF DAN TERSUSUN

UUM ONLINE: Bertemakan ‘Navigating the Future of Quantitative Sciences’, The 6th International Conference on Quantitative Sciences and Its Applications (ICOQSIA2020) memberi penekanan tentang kepentingan utama usaha kolektif dan tersusun oleh pakar subjek dalam menerajui masa depan sains kuantitatif.

Pengerusi ICOQSIA2020, Prof. Dr. Sharipah Soaad Syed Yahaya berkata, tanpa analitik, data tidak bermakna dan tanpa ilmu kuantitatif, analitik tidak berdaya serta tidak lengkap, terutamanya pada era data raya (big data) dan internet of things (IoT) ini.

Menurutnya, persidangan secara maya ini dianjurkan tepat pada masanya untuk membolehkan kita bekerjasama dan memikirkan kaedah untuk menyepadukan dengan lancar pelbagai aspek ilmu kuantitatif dalam analisis yang memainkan peranan penting dalam penyelesaian masalah yang inovatif pada masa sekarang dan masa depan.

“Bilangan artikel yang dibentangkan agak memberansangkan, walaupun dikesali dengan musibah pandemik yang telah memberi kesan kepada dunia yang membawa kepada pembatalan acara fizikal di Pulau Pinang seperti yang dirancang pada mulanya.

“Pengalaman persidangan diperkukuhkan lagi dengan kehadiran tiga pengucap utama yang bereputasi tinggi dengan kepakaran unik dan pengalaman yang tidak ternilai dalam bidang kejuruteraan, pendidikan dan perniagaan,” katanya.

ICOQSIA2020 anjuran Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif KXP Holding Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Ir. Annuar Mohd Saffar yang juga Profesor Adjung SQS dan pencupatama pada persidangan tersebut.

Berfokus pada permintaan masa depan untuk penumpang, kargo dan lalu lintas yang berkaitan dengan pesawat, Dato’ Dr. Ir. Annuar berbicara tentang teknik statistik dan model regresi, ditambah dengan kajian pasaran memainkan peranan penting dalam pembangunan sebuah lapangan terbang antarabangsa baru.

Diikuti pengucaptama kedua, Profesor Emeritus Keith Houghton dari Australian National University tentang Indeks REFF, alat yang menyokong pengukuran kecekapan dan produktiviti di sektor universiti. Potensi alat kuantitatif untuk aplikasi global digambarkan lebih lanjut menggunakan data sebenar dari universiti di Australia.

Sementara itu, Naib Presiden Kewangan/Ketua Kewangan Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd., Dato’ Peter Helm yang merupakan pengucaptama ketiga membincangkan peranan sains kuantitatif dalam membolehkan digitalisasi merentasi pembuatan, rantaian bekalan dan pengembangan teknologi.

Persidangan itu turut disertai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad dan Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi.